Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat kes melibatkan seorang penuntut lelaki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menjual video lucah sendiri di laman sosial X.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, penuntut berkenaan baru-baru ini telah dipanggil untuk diambil keterangan bersama rakannya iaitu seorang wanita yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Tambahnya, hasil operasi dan pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, Selangor, pasukan penguatkuasaan SKMM turut menyita satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kegiatan suspek bermula sejak 2021 dengan memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di aplikasi sama.

Bagaimanapun, katanya, modus operandi suspek berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali sehingga memperoleh sehingga lebih 100,000 pengikut di platform X.

“Suspek menjadikan penjualan video lucah sebagai sumber pendapatan dan hasil pendapatan bulanannya mencecah sehingga RM3,000 dengan anggaran harga sehingga RM150 bagi setiap satu video.

“Kegiatan ini dibongkar hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh SKMM berdasarkan aduan awam,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, tindakan menjual video lucah oleh suspek adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Katanya, sekiranya disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk melaporkan sebarang kegiatan menyebar dan menjual kandungan lucah di mana-mana platform media sosial kepada SKMM untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast