Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun ke-56 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak, di Ipoh.

IPOH- Syor mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung penguatkuasaan serta pengeluaran hasil nadir bumi (REE) merupakan langkah bagi mengekang ketirisan hasil negeri ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagaimanapun, SOP itu perlu meletakkan kriteria bersesuaian yang meliputi kredibiliti serta pengalaman sesebuah syarikat dalam mengurus tadbir pengeluaran REE.

“Bagi kerajaan negeri, cadangan untuk mewujudkan SOP ini satu tindakan yang bagus untuk elakkan ketirisan dan kegiatan kecurian REE daripada berlaku.

“Cuma, kalau boleh SOP itu perlu ada kriteria bersesuaian dan sebarang permohonan (syarikat) perlu ada sijil serta pengiktirafan dalam bidang REE,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Makan Malam Tahunan ke-56 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak di sini semalam.

Pada 25 Okt lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mencadangkan kerajaan negeri dan Persekutuan mewujudkan SOP khusus berhubung penguatkuasaan dan pengeluaran REE.

Azam berkata cadangan itu hasil siasatan SPRM yang mendapati tiada SOP khusus bagi pengeluaran REE sekali gus memungkinkan penyelewengan dan perlombongan haram berlaku.

Sementara itu, Saarani berkata kewujudan SOP itu juga nanti secara tidak langsung akan melengkapkan syarat perlombongan REE yang sebelum ini terarah kepada proses atau kaedah cari gali semata-mata.

Dalam pada itu katanya, kejayaan dalam projek percubaan pemprosesan REE bersama sebuah syarikat tempatan baru-baru ini membuktikan bahawa kepakaran mereka setanding dengan keupayaan dimiliki penggiat industri dari luar negara khususnya China dan Australia.

“Kejayaan ini hadir tidak lama selepas penubuhan Terra Mineral Lab, iaitu sebuah makmal analisis mineral nadir bumi komersial pertama di Malaysia yang dijangka menjadi pusat rujukan penting dalam industri mineral negara,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast