Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak mempunyai masalah mengenai kebolehpasaran graduan atau graduan bekerja dalam sektor rendah.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, seramai 18.4 peratus graduan ijazah pertama UTM yang bekerja memperoleh pendapatan premium iaitu lebih RM4,000 sebulan.

“Peratusan ini diperolehi berdasarkan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) bagi Majlis Konvokesyen ke-67 tahun 2023 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertarikh 30 April lalu.

“Data semasa SKPG setakat ini bagi Majlis Konvokesyen ke 68 tahun ini pula menunjukkan kenaikan kepada 21.6 peratus iaitu seramai 480 daripada 2,225 graduan ijazah pertama UTM yang berstatus bekerja.

“Ini adalah satu bukti bahawa kualiti graduan UTM sama ada dari sudut akademik, kemahiran dan adab yang dilahirkan sangat relevan bagi memenuhi permintaan pasaran kerjaya yang progresif.

“Di peringkat UTM, ia tidak berlaku (masalah kebolehpasaran graduan). Kita ada 20 universiti awam dan 355 kolej atau universiti swasta. Kita tidak tahu statistik itu ditujukan kepada siapa. Universiti mana atau kolej mana tetapi data yang saya nyatakan mengenai kebolehpaaran graduan UTM daripada KPT.

“Bagaimanapun data dari Jabatan Perangkaan Malaysia ini tidak boleh disalahkan, sebab mereka mengambil data mungkin dari keseluruhan 375 universti awam dan swasta, kita tidak tahu,” katanya pada sidang media Majlis Konvokesyen UTM ke-68, di sini, hari ini.

Beliau ditanya berkenaan Stastistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyatakan seramai 1.95 juta graduan lepasan universiti di negara ini bekerja di sektor lebih rendah yang tidak setimpal dengan kelulusan dimiliki mereka.

Media sebelum ini melaporkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan jumlah guna tenaga mahir yang bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah ini telah meningkat sebanyak 0.7 peratus.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, peratusan graduan ijazah pertama UTM bekerja di syarikat multinasional (MNCs) bertaraf global mencatatkan 22.6 peratus berdasarkan data semasa bagi graduan Majlis Konvokesyen ke-68.

Katanya selaras dengan aspirasi UTM menjelang 2030, penghasilan Graduan Premium Tier 1 menjadi sasaran baharu Universiti.

“Kelompok graduan ini merupakan graduan yang berjaya menempatkan diri dengan pendapatan premium lebih RM4,000 dalam sektor pekerjaan di Syarikat Multinasional (MNC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Ada di antara graduan UTM juga menjadi pencipta peluang kerja. Antara syarikat milik graduan UTM yang menawarkan peluang pekerjaan seperti RunCloud, IQIP Sdn Bhd selain ada dalam kalangan pelajar kita yang sudah pun membangunkan syarikat pemula ketika masih dalam tempoh pengajian. Antaranya Uninet Technology yang memperkenalkan produk mesin cetak layan diri, Printex.

“Apa yang UTM buat semua ini yang penting adalah kami bekerjasama rapat dengan industri, kami ada beberapa industri yang buka satelit lab dalam UTM dan luar negara sehingga ke Jepun, Korea, Rusia dan Indonesia.

“Alumni UTM yang berjaya juga banyak membantu kebolehpasaran graduan. Ini menunjukkan bahawa kokurikulum kami, hubungan serta kepercayaan dengan pihak industri menjadi pemangkin kepada kebolehpasaran graduan kami,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast