KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,583 kes demam denggi dan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada 3 hingga 9 November 2024 berbanding 1,346 kes dan satu kematian pada minggu sebelumnya.
Secara kumulatif, jumlah kes demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 112,833 kes dengan 104 kematian, berbanding 103,371 kes dan 80 kematian untuk tempoh yang sama tahun 2023.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, terdapat 39 lokaliti aktif hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-45 berbanding 27 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Daripada 39 lokaliti yang dilaporkan, 25 lokaliti di Selangor, lima lokaliti di Kuala Lumpur & Putrajaya, empat lokaliti di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Pulau Pinang dan Sabah dan satu di Perak.
Berdasarkan analisa yang dilakukan, didapati kematian akibat jangkitan denggi menunjukkan peningkatan pada tahun ini.
Oleh itu, masyarakat disarankan untuk segera mendapatkan rawatan awal di mana-mana fasiliti kesihatan sekiranya mengalami tanda dan gejala demam denggi, seperti demam secara tiba-tiba, sakit otot atau sendi, sakit kepala, dan sakit di belakang mata.
Gejala seperti muntah berterusan, sakit perut, keletihan melampau, pendarahan hidung, muntah berdarah dan kesukaran bernafas merupakan tanda-tanda amaran akibat komplikasi demam denggi.
Kelewatan mendapatkan rawatan awal boleh meningkatkan risiko kematian, katanya. – MalaysiaGazette