KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya semasa ditemubual CNN dan memperbetulkan pendirian Malaysia dalam isu Palestin-Israel.
Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa, Ahli-Ahli Parlimen PN, Wan Ahmaad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Malaysia sepatutnya kekal menyokong perjuangan Palestin dan menolak sebarang tindakan yang menyokong ketenteraan Israel.
“Maka, adalah tidak wajar bagi Perdana Menteri Malaysia untuk memberikan kenyataan sedemikian yang seolah-olah menyokong tindakan agresif Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah tegas dalam menyuarakan sokongan terhadap usaha masyarakat antarabangsa untuk menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Portal berita hari ini melaporkan pemimpin pembangkang dan aktivis pro-Palestin melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap pendirian Anwar yang didakwa menerima hak Israel untuk wujud dan ‘mempertahankan diri’ terhadap dua tuntutan yang sering dibuat terhadap pemimpin Islam oleh kerajaan Barat yang menyokong rejim zionis itu.
Ia tular menerusi video yang dikatakan temu bual Anwar dengan Richard Quest dalam wawancara dengan CNN baru-baru ini.
Bagaimanapun, jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, penularan video telah disunting pihak tertentu selepas status ucapan takziah Anwar mengenai kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang telah diturunkan daripada Facebook.-MalaysiaGazette