GEORGE TOWN – Kapasiti efektif empangan Air Itam dan Teluk Bahang masih belum mencapai tahap optimum bagi menghadapi musim kering awal tahun depan meskipun hujan sejak September lalu telah meningkatkan kapasiti air empangan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, setakat semalam kapasiti Empangan Air Itam berada pada tahap selamat iaitu 81.5 peratus.

Manakala kapasiti Empangan Teluk Bahang telah meningkat lebih 25.4 peratus sejak Ogos dengan mencecah paras 50 peratus.

Jelas beliau, walau bagaimanapun, empangan Teluk Bahang yang lebih besar masih memerlukan lebih banyak hujan bagi memastikan kapasitinya berada pada tahap selamat untuk musim kering.

“Dalam usaha bersedia menghadapi musim kemarau yang dijangka bermula pada Januari depan, PBAPP telah mengambil langkah awal dengan melaksanakan protokol “kawalan cuaca kering” pada bulan ini.

“Langkah ini merangkumi pengurangan pengeluaran air harian dari empangan utama, mengepam air terawat dari loji tertentu serta meminimumkan pelepasan dari Empangan Teluk Bahang.

“Matlamat ini adalah untuk memaksimumkan kapasiti efektif empangan Air Itam dan Teluk Bahang menjelang hujung tahun ini, agar Pulau Pinang berada dalam posisi terbaik untuk menghadapi suku pertama 2025 yang berpotensi panas dan kering,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pathmanathan menyeru 689,786 pengguna air di negeri ini agar berjimat dalam penggunaan air untuk memastikan kapasiti empangan lebih tinggi dan tahan lebih lama sepanjang musim kering.

“Usaha penjimatan sebanyak 10 peratus dalam penggunaan air dapat membantu mengekalkan rizab air, khususnya bagi menghadapi musim perayaan yang sering menunjukkan lonjakan penggunaan.

“Saya ingin merayu kepada pengguna Pulau Pinang untuk memainkan peranan mereka dan ia lebih proaktif dan produktif untuk kurang menggunakan air daripada bimbang dan merungut tentang kapasiti empangan yang rendah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here