Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).

KUALA LUMPUR – Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) 2010 dipinda segera bagi melindugi pemberi maklumat atau whistleblower berkait kes rasuah.

Dalam satu kenyataan semalam, C4 melahirkan rasa kecewa terhadap kurangnya sokongan dan perlindungan diberikan pihak berkuasa terhadap pemberi maklumat berkenaan dakwaan rasuah melibatkan sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sebuah negeri.

Katanya, pemberi maklumat dalam kes itu secara terbuka mengakui ketakutan terhadap kemungkinan akibat daripada pendedahan yang dibuat, sekali gus meragui perlindungan yang sepatutnya diperoleh di bawah WPA 2010.

Jelasnya, secara khusus peruntukan dalam Seksyen 11(1) membenarkan pembatalan perlindungan jika pemberi maklumat terlibat dalam salah laku yang didedahkan atau jika pendedahan tersebut dibuat untuk mengelakkan tindakan disiplin.

“Ini mengehadkan perlindungan kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam kes-kes tersebut, yang sering mempunyai bukti yang paling penting.

“Sejarah menunjukkan pemberi maklumat sering menjadi sasaran; sebagai contoh, Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki) sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap seorang pemberi maklumat yang membocorkan dakwaan pegangan sahamnya dalam syarikat-syarikat awam ketika beliau mengetuai penyiasatan SPRM,” demikian menurut kenyataan itu semalam.

Tambah C4, situasi menjadi lebih rumit kerana SPRM tidak memiliki kebebasan sepenuhnya apabila pelantikan Ketua Pesuruhjayanya ditentukan oleh Perdana Menteri mengikut Seksyen 5 Akta SPRM 2009 bersama dengan Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, adalah satu keperluan mendesak ketika ini untuk kerajaan mereformasikan SPRM supaya menjadi badan bebas, sekali gus turut memastikan pemberi maklumat berasa selamat untuk mendedahkan sebarang salah laku rasuah.

Dalam pada itu, C4 turut memuji usaha Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang bersedia berkongsi bukti dan nama-nama ADUN yang terlibat dalam dakwaan rasuah terbabit sekiranya pemberi maklumat tersebut menghubunginya.

Bagaimanapun, katanya, kesediaan Lip Eng itu hanya usaha kecil atau minoriti dalam usaha mencari kebenaran di sebalik pendedahan aktiviti rasuah tersebut ketika majoriti Ahli Parlimen lain dilihat seolah-olah memekakkan telinga berhubung kes tersebut.

“Sedangkan, ini adalah peluang yang tepat kepada wakil rakyat untuk membina semula kepercayaan masyarakat yang sejak sekian lama berdepan dengan desas-desus rasuah sudah menjadi budaya dalam dunia politik.

“Ia juga dapat membersihkan sistem politik negara daripada amalan rasuah serta mereformasi cara melindungi pemberi maklumat,” katanya.

Sebuah portal online sebelum ini melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN di sebuah negeri yang didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Bagaimanapun sehingga kini, SPRM dilaporkan tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai rakaman audio ADUN terbabit.

Namun, Azam dipetik berkata, peguam kepada pemberi maklumat terbabit ada bertemu pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast