Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Polemik larangan kepada ahli akademik dan cendekiawan di universiti daripada berkongsi ilmu Islam kepada awam tanpa kelulusan perlu diselesaikan secara aman.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihak universiti boleh mengemukakan cadangan mereka berhubung isu itu melalui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk dibawakan kepada Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Menurut beliau, cadangan boleh dikemukakan supaya golongan cendekiawan yang bertaraf Profesor, Profesor Madya dan Doktor Falsafah (PhD) diberikan tauliah secara automatik untuk menyampaikan ilmu agama di tempat awam di dalam parameter kepakaran mereka.

“Agak rugi apabila mereka yang berilmu dikekang dan tidak dihormati untuk membimbing ummah dan massa,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Beliau mengulas mengenai keresahan yang disuarakan Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung tindakan pihak berkuasa agama melarang ahli akademik dan cendekiawan Islam berkelayakan daripada berkongsi ilmu kepada awam tanpa kelulusan.

Dalam satu kenyataan semalam, ASA UIAM berkata, perkembangan itu menimbulkan isu penting berkenaan kebebasan akademik serta akses terhadap pengetahuan agama Islam dalam kalangan orang awam terhadap para cendekiawan berkelayakan.

Sementara itu, Maszlee menyifatkan keresahan yang disuarakan ASA UIAM itu mempunyai asas.

Bagaimanapun, beliau berpandangan pihak berkuasa agama mempunyai asas dan sebab tersendiri terutama dalam mengekalkan hegemoni status quo agama yang sekian lama bertapak di Malaysia tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here