Kenyataan media Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Ling Jin Shean berkenaan isu buli.

KUALA LUMPUR – Cadangan memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di blok asrama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengekang kejadian buli dilihat sebagai penyelesaian mudah bersifat sementara.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Ling Jin Shean berpendapat, pergantungan terhadap teknologi semata-mata bukan kaedah terbaik dalam memastikan kejadian sedemikian tidak berulang lagi.

Tambahan pula katanya, kejadian buli masih boleh berlaku di kawasan yang tiada pengawasan CCTV seperti tandas, bilik tidur dan di luar kampus.

Selain itu, katanya, pemasangan lebih banyak CCTV juga boleh membangkitkan kebimbangan mengenai hak privasi dan bakal menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan pelajar UPNM.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/11/12/kementerian-pertahanan-pasang-cctv-asingkan-pelajar-untuk-elak-kes-buli/

“Masalah buli adalah isu yang mendalam dan berkait rapat dengan budaya, psikologi dan ketidaksembangan kuasa.

“Selagi isu-isu ini tidak ditangani, gejala buli akan terus berleluasa walaupun dengan pemasangan CCTV.

“Oleh itu, langkah yang lebih menyeluruh dan berkesan harus diambil, bukannya sekadar mencari penyelesaian mudah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemasangan CCTV di semua blok asrama serta pengasingan pelajar Tahun Satu adalah antara langkah segera yang diambil bagi mengatasi isu buli di UPNM.

Ia selepas universiti terbabit menjadi perhatian umum berikutan dua kejadian buli serius yang mana seorang pelajar telah ditekap dengan seterika manakala seorang lagi dipijak senior sehingga mengalami retak tulang rusuk.

Sementara itu, sebagai alternatif, Jin Shean yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pusat Pengajian Politik Pemuda MCA mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan pihak berwajib untuk menangani gejala buli khususnya di UPNM.

Antaranya dengan meningkatkan sokongan psikologi dan kaunseling kepada pelajar.

Jelas beliau pakar kaunseling boleh ditempatkan di semua peringkat pendidikan untuk menyediakan bantuan psikologi yang menyeluruh bagi membantu para pelajar mengatasi tekanan atau masalah peribadi.

“Perkhidmatan ini juga boleh berfungsi sebagai saluran yang selamat dan mudah untuk pelajar melaporkan sebarang kejadian buli atau isu peribadi yang mengganggu mereka,” katanya.

Selain itu, tambahnya, pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya buli harus dilakukan secara berterusan dan tumpuan diberikan kepada pemupukan budaya empati dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar.

Dalam masa sama, ujarnya, hukuman yang setimpal harus dikenakan ke atas pelaku buli selepas siasatan yang telus dijalankan dengan proses terbuka.

“Ini supaya menjadi peringatan kepada semua pelajar bahawa isu buli adalah perkara serius dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Tambah beliau, pihak universiti juga harus menganjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan yang menggalakkan interaksi positif sesama pelajar.

Jelasnya, pendekatan itu dapat membantu memperkukuhkan semangat kebersamaan dan mengurangkan ketegangan atau salah faham yang boleh mencetuskan buli. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

MGNews: Buli UPNM: Hanya Tahun Ini Kes Bertambah – Khaled Nordin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here