KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional mendakwa Perikatan Nasional (PN) memutar belit kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri seperti dalam wawancara bersama agensi berita antarabangsa CNN.
Naib Ketuanya, Ammar Atan berkata, tuduhan yang dibuat PN itu adalah palsu dan berniat untuk mengelirukan rakyat.
Sedangkan, ujar beliau, Anwar dengan jelas menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel, menolak penjajahan dan menuntut dunia bertindak menghentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
Malah, jelas beliau, Malaysia di bawah kepimpinan Anwar terus kekal komited dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
Sebagai bukti, tambah Ammar, Anwar baru-baru ini dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh yang menunjukkan kesungguhan Malaysia dalam usaha menghentikan kekejaman Israel serta menyuarakan keperluan penyelesaian berasaskan keadilan.
“Ambil sekerat-sekerat ucapan tanpa dengar keseluruhan, itulah kerja mereka, tetapi dunia tahu siapa yang benar-benar bertindak untuk Palestin.
“Anwar Ibrahim dengan jelas menolak penjajahan Israel, menyeru tindakan tegas komuniti antarabangsa, dan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin di setiap platform global,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ammar secara sinis menyifatkan pembangkang kini cuba menonjolkan diri sebagai `terpaling Palestin’ sedangkan tidak ada langkah konkrit diambil untuk membantu rakyat Palestin ketika berkuasa.
Katanya, tindakan pembangkang memanipulasi isu itu hanya menunjukkan hipokrasi mereka yang menggunakan Palestin sebagai alat politik.
Sedangkan, ujar beliau, Kerajaan MADANI hari ini bukan sekadar bercakap tetapi mengambil tindakan nyata dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
“Kami menyeru semua pihak, termasuk pembangkang, untuk menghentikan eksploitasi isu Palestin demi kepentingan politik sempit dan bersama menyokong usaha ke arah keadilan dan keamanan sejagat.
“Malaysia tetap berdiri teguh bersama rakyat Palestin. Keamanan hanya akan tercapai apabila keadilan ditegakkan,” katanya.
Beberapa portal pro pembangkang sebelum ini mendakwa Anwar membuat kenyataan kononnya menerima hak kewujudan negara haram Israel dalam temu bualnya bersama CNN baru-baru ini yang tular di media sosial.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, video wawancara itu telah dipotong dan disebarkan seluas-luasnya seolah-olah menunjukkan kerajaan mengiktiraf kewujudan negara Israel. – MalaysiaGazette