Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga tahun 2024 (S2 2024: 5.9%), didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan.

Aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan (M&E), manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar.

Dalam sektor luaran, eksport terus mengukuh berikutan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global.

Sementara itu, import juga berkembang pada kadar yang lebih pantas, berikutan permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kukuh untuk menyokong peningkatan pelaburan dan perdagangan.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, dari segi penawaran, kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan khususnya, peningkatan dalam sektor perkilangan didorong oleh kelompok berorientasikan eksport.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyenggaraan dalam sektor perlombongan.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan menjadi sederhana kepada 1.8% (S2 2024: 2.9%).

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% bagi tiga suku pertama tahun 2024.

BNM berkata, pada suku ketiga tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada 1.9% (S2 2024: 1.9%).

Inflasi yang lebih tinggi dicatatkan untuk diesel (20.1%; S2 2024: 5.3%) dan insurans kenderaan (0.8%; S2 2024: -0.1%), yang diimbangi dengan pengurangan inflasi untuk makanan dan minuman (1.6%; S2 2024: 1.9%), khususnya makanan di luar rumah, bijirin, dan sayur-sayuran
segar.

Secara keseluruhan, bilangan item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 38.9% pada suku ketiga tahun 2024 (S2 2024: 49.4%).

Tambahnya, ringgit menambah nilai sebanyak 14.9% berbanding dolar Amerika Syarikat dalam tempoh ini, manakala kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) juga menambah nilai sebanyak 9.9%.dikaitkan dengan peralihan ke arah pendirian pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan yang telah mengurangkan tekanan terhadap mata wang serantau, termasuk ringgit.

Bagaimanapun, ringgit telah menurun nilai sebanyak 7.8% berbanding dolar AS dari 1 Oktober hingga 13 November 2024 didorong oleh dolar AS yang lebih kukuh dalam tempoh yang sama, dalam keadaan jangkaan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil berikutan data ekonomi AS yang kukuh.

Dari awal tahun hingga kini (setakat 13 November 2024), ringgit menambah nilai sebanyak 3.1% berbanding dolar AS (NEER: +6.6%).

Pada masa hadapan, pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran bagaimanapun, prospek makroekonomi Malaysia yang baik dan pembaharuan struktur yang berterusan akan menyokong ringgit dalam jangka sederhana.

“BNM akan terus memastikan pasaran pertukaran asing dalam negeri berfungsi dengan teratur,” ujarnya.

Dalam pada itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil.

Pertumbuhan kredit kepada sektor bukan kewangan swasta menjadi sederhana (4.8%, S2 2024: 5.5%), berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman perniagaan terkumpul dan bon korporat.

Pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan disebabkan oleh syarikat bukan PKS, manakala pertumbuhan pinjaman PKS kekal menggalakkan.

Mengikut sektor, pertumbuhan pinjaman kepada sektor perkhidmatan kekal stabil, manakala pertumbuhan pinjaman untuk sektor perkilangan dan pembinaan menjadi sederhana.

Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman kekal stabil, didorong oleh pinjaman pembelian perumahan dan kereta. Pertumbuhan permohonan pinjaman isi rumah terus menggalakkan dengan kadar kelulusan yang mampan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa hadapan akan didorong oleh perkembangan aktiviti pelaburan yang kukuh, peningkatan eksport secara berterusan dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan.

Di dalam negeri, aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan dalam projek berbilang tahun merentas sektor swasta dan awam.

Inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan induk nasional dan pelaksanaan yang lebih tinggi bagi pelaburan yang diluluskan juga merupakan pemacu utama bagi aktiviti pelaburan.

Pelaburan-pelaburan ini, yang disokong oleh import modal yang lebih tinggi, akan meningkatkan eksport dan mengembangkan kapasiti produktif dalam ekonomi.

Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan gaji yang berterusan serta langkah-langkah dasar.

Di luar negeri, kitaran teknologi global yang terus meningkat, permintaan kukuh yang berterusan untuk barangan perkilangan dan komoditi serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dijangka akan mempertingkatkan eksport.

Prospek pertumbuhan Malaysia kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik dan langkah-langkah perlindungan perdagangan yang semakin meruncing serta pengeluaran komoditi yang lebih lemah daripada jangkaan.

Namun, faktor yang boleh menyokong pertumbuhan yang lebih tinggi termasuk limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, pelaksanaan projek pelaburan yang lebih cepat dan aktiviti pelancongan yang lebih mantap.

Dari awal tahun hingga kini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 1.8%.

Katanya, kesan limpahan daripada pelarasan harga diesel kepada harga secara amnya terkawal, memandangkan langkah-langkah pengurangan dan penguatkuasaan yang berkesan untuk meminimumkan kesan terhadap kos perniagaan serta mengurangkan pindahan kos kepada harga runcit.

Pada masa hadapan, prospek inflasi akan bergantung pada pelaksanaan langkah-langkah dasar dalam negeri yang selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here