KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah tegas dengan merehatkan dua orang yang terlibat dalam perlawanan kontroversi Liga Super 2024-2025 di antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad lalu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram menjelaskan, tindakan itu diambil susulan kedua-kedua mereka, iaitu pengadil, Razlan Joffri Ali dan pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam membuat keputusan yang tepat.
Keputusan itu berhubung insiden situasi penalti pada minit ke-38 dan pergelutan melibatkan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada minit ke-84.
Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, tindakan merehatkan kedua-kedua pengadil hanya dibuat selepas analisa yang dijalankan oleh Jawatankusa Penilaian Prestasi Pengadil.
“Berdasarkan analisis ke atas kedua-dua insiden itu, kami mendapati keputusan mereka adalah kurang tepat. Oleh itu, pengadil dan pengadil VAR yang terlibat telah direhatkan daripada sebarang tugas di Liga Profesional dan Liga Amatur sebanyak dua perlawanan.
“Mereka juga akan dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian sebelum diberikan semula tugas sebagai pengadil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya memandang berat terhadap isu prestasi dan tidak akan memberi sebarang kompromi dalam hal yang berkaitan dengan persembahan kualiti pengadil.
“Pendekatan jenis hukuman berprinsipkan ‘pendidikan’ akan diambil bukan sahaja untuk memberi denda tetapi dalam masa yang sama mendidik dan memberi khidmat kaunseling supaya mereka akan bertugas lebih cemerlang nanti.
“Namun, kami perlu berhati-hati dengan hukuman berat kerana teknologi VAR dalam liga profesional negara hanya boleh dikendalikan pegawai yang memiliki lesen.
“Bentuk hukuman ini amat sesuai untuk memastikan liga negara berjalan lancar kerana polisi ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi telahpun digunakan di peringkat FIFA, AFC dan liga ternama lain di dunia,” tambahnya. – MalaysiaGazette