Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada media selepas membuat laporan SPRM dan Penyerahan Dokumen ke atas mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon dan seorang Datuk berkaitan salah laku membabitkan SMM ketika di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 15 NOVEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak pemberi maklumat yang mendakwa menerima ugutan bunuh berhubung skandal rasuah didakwa membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah. supaya melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Zulkarnain Mahdar menemplak pemberi maklumat itu kerana masih gagal menghadirkan diri membuat laporan kepada pihak berkuasa sebaliknya hanya mendedahkan perkara itu di media sosial.

“Pemberi maklumat dakwa terima ugutan dan bunuh seolah-olah dia tidak selamat lagi di sini, ini bukan Korea Utara, ini Malaysia.

“Kita nampak isu ini semakin viral sebab setiap hari ada video baharu. Sudah lebih 30 tahun, saya terlibat sebagai aktivis masyarakat dan salah seorang Pengerak Sekretariat Anti Rasuah.

“Ikut pengalaman saya, di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 apabila kamu mengetahui amalan rasuah tetapi tidak melaporkan kepada pihak SPRM ini jelas satu kesalahan,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan kepada SPRM pagi tadi.

Zulkarnain menambah, beliau juga telah meminta penjelasan daripada SPRM sama ada akta ini masih wujud, dan SPRM mengesahkan akta ini ada.

Beliau menegaskan, sekiranya seseorang itu tampil menjadi pemberi maklumat atau pengadu kepada SPRM, individu terbabit akan diberi perlindungan mutlak.

Pada masa sama, beliau juga mendesak pihak SPRM untuk segera memanggil pemberi maklumat dan pengadu agar siasatan berkait kes terbabit dapat dijalankan.

“Saya buat laporan (hari ini) berhubung pengadu tidak melaporkan kepada SPRM tentang kes ini, supaya ia jadi pengajaran apabila kamu sudah tahu amalan rasuah, jangan pertahankan pelaku.

“Sepatutnya tampil lapor SPRM, sebab tindakan dia (pemberi maklumat) akan wujud presepsi salah pada banyak pihak. Kita buat ini bukan mahu pertahankan mereka yang dituduh (rasuah).

“Pada masa sama, saya juga menyerahkan beberapa dokumen supaya SPRM dapat menyiasat pengadudan pemberi maklumat,” jelasnya.

Mengulas mengenai video yang tersebar didedahkan pemberi maklumat, beliau tidak akan masuk campur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM.

Baru-baru ini, sebuah portal melaporkan mengenai lapan rakaman video memaparkan seorang ADUN membincangkan jumlah wang antara ratusan ribu hingga RM4 juta dengan seorang ahli perniagaan sebagai pertukaran untuk projek negeri.

Ahli perniagaan yang tidak dikenali itu mendakwa, dia memiliki rakaman tersebut dan telah mendapatkan perlindungan pemberi maklumat daripada SPRM.

Pada 9 Nov, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawainya telah bertemu peguam pemberi maklumat itu pada 30 Oktobe yang mana hanya klip video berdurasi 17 saat “orang bercakap tentang wang” dimainkan.

Sambil menggesa pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan, Azam berkata SPRM tidak boleh memberikan jaminan bertulis bahawa dia tidak akan disiasat atau didakwa.

Azam menegaskan, undang-undang menyatakan apabila individu itu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia dilindungi di bawah undang-undang tetapi ini boleh dibatalkan jika dia didapati terlibat dalam kesalahan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast