ALOR GAJAH – Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di Melaka diminta untuk terus memperkasakan usaha membantu ekonomi rakyat melalui sokongan terhadap semua agenda pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kumpulan itu mempunyai peranan penting dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di semua peringkat umur dan pekerjaan.
“Kerajaan Negeri melakarkan satu ‘master plan’ untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang hebat dalam sektor pelancongan dan pelaburan antarabangsa selepas kita selesai mengambil alih kira-kira 5,000 ekar (2 hektar) tanah perindustrian baru.
“Jadi di sinilah peranan NGO untuk menguar-uarkan kepada rakyat hasrat kita memajukan melaka ini menggunakan apa sahaja medium mereka,”. katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Serah Terima Instrumen MoU Rakan Strategik Majlis Hal Ehwal Wanita & Keluarga Malaysia, Negeri Melaka di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka (BISTARI), Datin Seri Zuriyah Abd Aziz dan Penyelaras HAWA Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, NGO boleh memainkan peranan besar pada tahun depan apabila Melaka diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD).
“Melalui WTD 2025, Melaka berada dalam peta pelancongan dunia, apabila lebih 155 menteri-menteri pelancongan dan budaya akan berkampung di sini selama sebulan
“Saya harap HAWA boleh meletakkan dalam pemikiran setiap NGO ini mengenai lakaran kerajaan negeri untuk membawa kelestarian rakyat dalam prgram-program yang bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, Shahrizat berterima kasih kepada Ab Rauf akan kepercayaan yang diberikan kepada HAWA untuk mengetuai peranan itu bersama-sama NGO lain di negeri ini untuk mempromosikan agenda pelancongan Melaka.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka atas pengiktirafan kepada HAWA dan kami pastinya mengambil berat amanah yang diberkan ini untuk merakyatkan semua program anjuran kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette