KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di sekitar ibu negara mula dinaiki air susulan hujan lebat, petang ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran ringkas di Facebook memaklumkan, kawasan terlibat membabitkan Jalan Pudu dan Jalan Sultan (Petaling Street).
“Hujan lebat turun di sekitar ibu kota dan petugas DBKL sedang memantau situasi semasa.
“Paras air di sungai-sungai utama sehingga jam 2.45 petang masih berada pada paras normal dan terkawal. Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati dan sentiasa berwaspada,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang panggilan berhubung kejadian banjir kilat. – MalaysiaGazette