Suasana sesak pada waktu puncak di kaunter imigresen di KLIA. Foto Facebook Shamsul Azri Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Sebarang kelemahan, terutama dalam perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), perlu ditambah baik secara berterusan bagi memastikan pengalaman yang lebih lancar dan berkualiti untuk semua pengunjung. 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata,  kesesakan yang berlaku di kaunter Imigresen, khususnya semasa  waktu puncak adalah satu isu yang perlu diberi perhatian.

“Saya melakukan tinjauan dan sesi lawatan mengejut ke KLIA bagi melihat sendiri pengoperasian di kaunter khususnya bagi urusan imigresen.

Shamsul Azri Abu Bakar berkata sesuatu kepada kakitangan imigresen yang bertugas di KLIA.

“Punca utama kesesakan adalah disebabkan ketibaan serentak 26 kapal terbang dalam tempoh 1 jam (antara pukul 8.30 hingga 9.30 malam).

“Walaupun lebih 20 kaunter dibuka untuk laluan pas sosial antarabangsa dan 10 laluan autogate untuk pemegang pasport Malaysia, saya melihat bahawa penambahbaikan masih boleh dilakukan,” katanya.

Katanya, penambahbaikan boleh dilakukan dengan  menambah bilangan petugas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)  dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) semasa waktu puncak serta memanfaatkan kaunter khas yang dikhususkan untuk kategori tertentu seperti kelas perniagaan dan anak kapal apabila laluan ini tidak digunakan.

Shamsul Azri Abu Bakar ketika mengadakan lawatan mengejut ke KLIA.

Bagaimanapun, beliau memuji sikap profesionalisme dan kesopanan pegawai imigresen yang tetap mesra dalam melayani pertanyaan pelancong meskipun berdepan dengan jumlah pengunjung yang tinggi.

Beliau turut mengarahkan Pengarah Imigresen KLIA, Tuan Ibrahim Mohd Yusof, agar memastikan jadual giliran pegawai dipatuhi bagi menjaga kebajikan petugas, khususnya yang bekerja di barisan hadapan.

“Saya juga jelaskan, bukan niat saya melakukan lawatan mengejut ini untuk mencari salah, ianya lebih kepada mencari ruang-ruang penambahbaikan proses kerja dan memahami situasi sebenar terutama mereka yang bekerja di barisan hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast