KUALA LUMPUR – Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan hormat Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, lawatan itu diadakan untuk mendapatkan maklumat komprehensif kejadian gempa bumi sebelum ini yang melanda negara khususnya negeri Sabah dan Borneo.
“Program Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT) yang akan memasuki siri keenam ini bertujuan memberi latihan di lapangan kepada semua petugas dan sukarelawan seluruh negara dalam menghadapi pelbagai bencana.
“Lawatan ini juga diharapkan dapat menjadikan Khidmat Malaysia untuk lebih mahir dalam mengendalikan pelbagai bantuan termasuk dalam menghadapi gempa bumi,” katanya.
Pihaknya juga akan terus komited untuk bekerjasama dalam menjalankan tanggungjawab sosial terutamanya dalam memberi kesedaran dan pengetahuan berkaitan bencana gempa.
Sementara itu, Ketua Kluster Gempa Bumi dan Tsunami NDRC, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith berkata NDRC akan terus fokus menjalankan penyelidikan dan kesedaran awam berkaitan gempa bumi.
“Selain itu, kami juga terlibat secara aktif bersama dengan beberapa Felo Penyelidik NDRC dalam penyediaan Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structure of earthquake resistance-Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings.
“Hal ini kerana peristiwa gempa yang berlaku di Gunung Kinabalu pada Jun 2015 membuka mata masyarakat tentang pentingnya persiapan teknikal dan kesedaran awam sebelum, semasa dan selepas gempa bumi,” katanya. – MalaysiaGazette