KUALA LUMPUR – Misi Bekpes Hot FM Tawan Kinabalu tercapai apabila tiga penyampai radio, Khairy Jamaluddin, AG dan Johan berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pagi ini biarpun tanpa Fara Fauzana.
Gunung tertinggi di Asia Tenggara itu yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental tinggi pendaki menyaksikan Khairy yang pertama tiba iaitu hampir sejam lebih awal di puncak Low’s Peak meninggalkan rakan lain iaitu AG serta Johan.
Namun Fara hanya bertahan sehingga Laban Rata atau Panalaban sebelum turun semula ke Timpohon Gate pagi tadi.
Khairy atau nama sebenarnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 48, bersama team Bekpes meraih pujian melambung ramai peminat yang teruja mengikuti perkembangan pendakian sejak awal.
“Chief KJ sudah sampai puncak Gunung Kinabalu, ini bermakna, Bekpes Hot sudah tawan puncak Kinabalu,” tulis Hot FM dalam Instagram.
“Saya tahu limit saya. Alhamdulillah, terima kasih atas doa. Saya di Laban Rata sahaja, tidak naik ke puncak, saya tahu limit saya, tengah bersedia untuk turun.
“Sampai di tahap ini pun saya sudah bangga,” tulisnya menerusi Instagram.
Walaupun hanya sampai separuh perjalanan, netizen tetap memuji semangat kental wanita berusia 44 tahun itu.
Pendakian Bekpes Hot untuk menawan puncak Gunung Kinabalu merupakan sebahagian daripada misi khas stesen radio Hot FM yang bermula pada 14 November lalu.
Misi tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal malah menjadi satu lagi pencapaian unik bagi Hot FM serta inspirasi kepada para pendengar di seluruh negara. – MalaysiaGazette