PUTRAJAYA – Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming telah menderma sebulan gajinya sebagai tabung kebajikan kementerian itu.
Tindakan itu diambil susulan kejayaan KPKT raih Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2024 dalam satu majlis di Movenpick Convention Centre, KLIA Sepang, Selasa lalu.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT telah rangkul tiga anugerah lain iaitu pelaksanaan Industrialised Building System (IBS), pengurusan program dan projek pembangunan serta penilaian pencapaian konsisten.
“Pencapaian ini merupakan hasil usaha berterusan semua jabatan dan bahagian di bawah KPKT dalam pelaksanaan projek yang memberi impak positif kepada keperluan rakyat.
“Ini selaras dengan matlamat Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih makmur dan maju. Melalui kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam satu sidang media di Bilik Media KPKT, di sini, hari ini.
“Kejayaan KPKT mencerminkan komitmen kami dalam memastikan projek pembangunan dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada mereka yang layak.
“Diharapkan segala projek pembangunan yang sedang berjalan dinilai dan berjaya memberikan pulangan positif dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan mampan,” tambahnya. – MalaysiaGazette