Sebuah lori treler terbalik di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) menuju ke Paya Emas, Cheng, Melaka petang tadi mengakibatkan pemandunya patah tangan.

MELAKA – “Waktu melihat lori treler 30 tan itu terbalik selepas mengambil selekoh, saya terus teringat kejadian sama di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Rabu lalu yang mengorbankan seorang wanita akibat dihempap kenderaan berat itu.

“Dalam keadaan cemas saya berlari sambil berdoa dan lega apabila mendapati tiada mangsa lain terlibat kecuali pemandu treler berlumuran darah sebelum saya menariknya keluar,” kata Nik Ibrahim Nik Hasan, 50.

Peniaga warung itu adalah saksi kejadian sebuah treler terbalik di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menuju ke Paya Emas, Cheng, di sini petang tadi.

Nik Ibrahim Nik Hasan

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 5.50 petang ketika dia sedang membancuh air di warung tepi Lebuh AMJ sebelum tiba-tiba melihat treler membawa muatan biskut kering berkenaan hampir terbalik sebaik melalui selekoh menuju ke Sungai Udang.

“Saya dapat lihat dengan jelas bahagian belakang treler itu yang dipandu perlahan tiba-tiba senget menyebabkan ia tidak dapat dikawal lalu terbalik.

“Mujurlah ketika tiada kenderaan lain di laluan itu walaupun kebiasannya ia sentiasa sibuk, kalau tidak mungkin ada nyawa yang terkorban,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi malam ini.

Sebuah lori treler terbalik di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) menuju ke Paya Emas, Cheng, Melaka petang tadi mengakibatkan pemandunya patah tangan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian mengakibatkan pemandu lori lelaki berusia 29 tahun patah tangan kanan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika kenderaan itu sedang membelok ke arah Lebuh SPA-Paya Mas, tiba-tiba muatan berat mengakibatkan treler terbalik ke arah kanan jalan.

“Akibatnya, pemandu berusia 29 tahun patah tangan kanan dan dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini

Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pukul 9.15 pagi Rabu lalu, wanita berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian manakala lelaki berusia 25 tahun cedera selepas sebuah lori kontena terbalik sebelum menghempap beberapa kenderaan.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka dari sebuah kenderaan di lokasi yang tular mendapati, pemandu treler membelok kenderaannya sebelum kontena yang dibawanya terbalik dan menghempap beberapa kenderaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast