KUALA LUMPUR – Seorang pelajar jurusan aeronautik yang berdepan dengan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 412.3 gram tiga tahun lalu dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Ini kerana mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abishek Raj dan pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Hazlina Hussain ketika membacakan keputusannya hari ini berkata, banyak keterangan bercanggah telah diberikan oleh beberapa saksi pendakwaan dalam kes membabitkan pelajar berusia 22 tahun itu.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata peguam yang mewakili tertuduh, Sivahnanthan Ragava, anak guamnya lega apabila pertuduhan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit salah berpihak kepada mereka.
“Seperti kata hakim, banyak kenyataan bercanggah malah pihak pendakwaan telah berhujah bahawa ibu kepada tertuduh merupakan saksi belot (hostile witness).
“Namun lepas nilai semula semua keterangan saksi dalam kes ini, mahkamah memutuskan ibu tertuduh tidak boleh dikategorikan sebagai saksi belot.
“Satu lagi pihak pendakwaan tidak berjaya buktikan elemen kawalan dan jagaan dadah berbahaya sekaligus gagal buktikan adanya prima facie terhadap anak guam saya,” katanya, hari ini.
Abishek Raj didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 412.3 gram di sebuah apartment di Damansara Damai, Petaling pada jam 10 malam 15 November 2021.
Antara fakta kes yang penting ialah pihak polis telah menjumpai kad pengenalan tertuduh dalam satu beg bersama-sama dengan dadah jenis kanabis ketika itu.
Jika sabit salah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 seseorang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, perlu dihukum dengan minimum 12 sebatan. – MalaysiaGazette