KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) masih membenarkan penceramah mempunyai tauliah dari luar untuk menjalankan aktiviti dakwah di masjid di negeri ini.
Bagaimanapun, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad mengingatkan semua pihak termasuk penceramah, pemimpin atau ahli politik yang mempunyai tauliah supaya tidak berceramah politik di masjid.
Katanya, arahan itu harus dipatuhi oleh semua pihak termasuk pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang bagi memastikan keharmonian institusi agama seperti masjid dapat dipelihara.
”Kalau ada antara tokoh parti mendapat tauliah, tidak perlulah ceramah politik dalam masjid. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menerima sebarang laporan berkaitan ceramah politik.
”Jangan pula nanti sampai Tuanku buat peraturan tertentu yang hanya membenarkan orang tertentu sahaja boleh berceramah, sekarang Tuanku masih membenarkan MUIP dan JAIP bersikap terbuka panggil penceramah dari luar, selagi kita diberi kebenaran, jadi kita perlu jagalah (keharmonian masjid),” katanya.
Selain itu, Syed Ibrahim mahu JAIP sentiasa memantau aktiviti dakwah yang dijalankan di masjid supaya tidak melanggar peraturan berkenaan.
Beliau ditemui media sejurus penutupan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Tahun 1446 Hijrah/2024 di sini semalam.
Terdahulu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada semua pemegang tauliah mengajar di negeri ini agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik. – MalaysiaGazette