KUALA LUMPUR – Dua puluh tiga pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) disiasat kerana dipercayai terbabit jenayah komersial bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 22 pegawai disiasat sebagai suspek sepanjang tahun lepas.
“Saya rasa kecewa dan terkilan apabila amanah di sebalik seragam biru yang dibanggakan ini sudah disalah guna segelintir anggota dan pegawai polis.
“Rasanya tidak keterlaluan, jika saya ibaratkan sebagai manusia yang tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri.
“Kewibawaan dan imej PDRM tercalar dengan penangkapan yang dilakukan terhadap segelintir warga PDRM atas pelbagai kesalahan jenayah, dadah, rasuah serta salah guna kuasa,” katanya dalam ucapan di Perhimpunan Bulanan PDRM yang diadakan di Bukit Aman pagi hari ini.
Tambah Razarudin, satu perubahan drastik wajar dilakukan terhadap budaya kerja dan tahap integriti warga PDRM.
Katanya, usaha itu perlu dilakukan agar pasukan PDRM kekal relevan dan dihormati masyarakat.
“Namun begitu, tahap integriti serta pematuhan standard warga pasukan masih berada di tahap yang membimbangkan walaupun telah berulang kali peringatan dan amaran diberikan.
“Perlu ingat bahawa, integriti adalah teras dalam pembentukan dan pemantapan jati diri kita.
“Justeru, sempena dengan Pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 bertemakan ‘Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi’, PDRM menyambut baik segala usaha murni kerajaan dalam memperkasakan pembudayaan integriti,” tegasnya.
Di majlis sama, Razarudin turut menyampaikan Sijil Penghargaan
kepada 51 pegawai polis dan pegawai awam dari semua Jabatan dalam Pasukan, termasuk dua pegawai polis daripada Commercial Affairs Department (CAD), Singapore Police Force iaitu Superintendan Ho Ban Hsiung dan Asisten Superintendan Polis Eric Lim.-MalaysiaGazette