Tan Sri Razarudin Husain di Perhimpunan Bulanan KPN November 2024 di BUkit Aman pada 15 November 2024.Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengadaptasi langkah lebih proaktif dan berinovasi bagi mengekang eksploitasi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengubah modus operandi penjenayah serta menjadikan jenayah komersial semakin kompleks di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, salah satu contoh yang membimbangkan ialah penggunaan teknologi ‘deepfake’ yang membolehkan penjenayah
mencipta kandungan palsu, baik dalam bentuk video, gambar, mahupun audio, untuk
memperdaya mangsa.

Katanya, kemajuan ini menuntut PDRM mengadaptasi langkah lebih proaktif dan berinovasi bagi mengekang eksploitasi teknologi tersebut dalam penipuan dalam talian.

“Rasionalisasi serta penstrukturan perjawatan di dalam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam PDRM merupakan antara usaha dan langkah drastik yang telah dijalankan pengurusan tertinggi bagi mendepani cabaran baharu ini.

“Bagaimanapun, memandangkan tiada peruntukan perjawatan baharu, maka PDRM telah menggunakan perjawatan dalaman untuk menstruktur semula perjawatan JSJK, mengikut keutamaan fungsi-fungsi kritikal,”katanya semasa berucap di Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin juga menambah bahawa sebanyak 691 perjawatan telah dikenal pasti dan diambil dari jabatan-jabatan lain bagi memenuhi keperluan JSJK.

Selain itu katanya, penstrukturan semula perjawatan yang sedia ada di dalam JSJK, melibatkan 906 perjawatan turut telah dilakukan melalui kaedah agihan dalam jabatan.

“Dalam usaha menambah baik keupayaan JSJK, sebuah Unit Siber Taktikal dan Teknikal ditubuhkan dengan cadangan awal melibatkan sebanyak 22 perjawatan baharu.

“Namun, buat masa ini sebanyak 17 perjawatan telah diisi bagi memulakan operasi fasa pertama dalam unit tersebut.

“Langkah drastik ini sangat diharap dapat menambah keupayaan PDRM menangani ancaman siber secara efektif dan juga holistik,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast