Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu memendekkan lawatan beliau ke luar negara untuk menyelesaikan isu dalam negara.

Jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, apa jua permasalahan boleh dijawab oleh Perdana Menteri di mana sahaja beliau berada.

“Perdana Menteri akan kembali ke Malaysia, insya-Allah Rabu depan dan sudah pasti dalam zaman sekarang sekiranya perlu beliau menjawab apa-apa isu atau pun memberi komen ia boleh dibuat di mana saja beliau berada.

“Jadi, saya lihat itu tidak ada isu dan beliau telah menyatakan bahawa untuk memohon perlindungan secara blankets itu tidak mungkin perlu mengikut proses dan berlandaskan undang-undang sedia ada dan kita pohon supaya pemberi maklumat ini buat laporan dengan pihak SPRM,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas pertanyaan media sama ada Anwar perlu memendekkan lawatan beliau bagi menyelesaikan beberapa isu, antaranya penularan video mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Perdana Menteri kini dalam siri lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Selatan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.

Sebelum itu, rakaman video dimuat naik sebuah portal berita memaparkan pendedahan pemberi maklumat mengenai perbualan seorang ADUN dengan ahli perniagaan yang didakwa cuba mendapatkan kontrak menerusi tawaran wang melibatkan jutaan ringgit.

Dalam pendedahan itu, butiran perbualan tersebut melibatkan ahli perniagaan yang menawarkan RM3 juta untuk mendapatkan kouta atau lesen untuk masuk ke kawasan yang dimahukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here