Jabatan Kesihatan Pulau Pinang rampas tradisional tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM10.1 juta dalam serbuan di Jelutong pada 4 November lalu.

GEORGE TOWN – Lebih 70,000 produk tradisional tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM10.1 juta dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) menerusi satu operasi khas pada 4 November lalu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin, Ops Joint dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijalankan di dua premis di kawasan Jelutong di sini, yang disyaki menjadi pusat jualan produk-produk tersebut secara dalam talian.

Jelas beliau, operasi ini membuktikan KKM sentiasa mengambil serius terhadap aduan awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi termasuk penjualan secara dalam talian yang telah menjadi trend pada masa kini.

“Para pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni di laman sesawang, platform media sosial serta aplikasi e-dagang dengan tuntutan perubatan yang tidak munasabah.

“Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, orang awam boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03 7883 5400 ATAU memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store, App Store dan Huawei App Gallery. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast