KUALA LUMPUR – Tidak berpuas hati dihalau dan berlaku perselisihan faham, menjadi punca dua lelaki bergaduh dalam kejadian di Dataran Shah Alam, Selangor pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian mangsa berusia 48 tahun berada dalam kereta di lokasi berkenaan sebelum didatangi suspek.
“Suspek yang tidak dikenali mangsa bertindak menghalaunya keluar dari kawasan tersebut dan kemudian berlaku pertengkaran hingga pergelutan antara kedua-duanya.
“Semasa kejadian, suspek kemudian bertindak memukul mangsa dengan tangan sebelum mangsa bertindak membalas pukulan suspek itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun katanya, kejadian itu berjaya dileraikan orang awam yang berada di lokasi terbabit.
“Mangsa mengalami kesan calar di bahagian lengan tangan sebelah kanan dan pemeriksaan mendapati mangsa merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental,” jelasnya,
Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan pergaduhan libatkan dua individu di kawasan Dataran Shah Alam sebelum kejadian kemudiannya dileraikan orang ramai. – MalaysiaGazette