Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perak menyelamatkan penduduk daripada tiga perkampungan berhampiran Tanjung Rambutan yang terperangkap dalam kejadian banjir ketika Latihan Amal Bencana Kecemasan Luar Bandar (REDEX) Kinta Utara 2024 di Tanjung Rambutan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Sistem hebahan amaran awal banjir melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) diwujudkan bertujuan memberikan amaran awal kepada penduduk di kawasan yang diramal berisiko banjir sebagai langkah berjaga-jaga atau berpindah ke kawasan selamat.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, ia hasil kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kerjasama terbabit turut membabitkan beberapa syarikat telekomunikasi antaranya CelcomDigi, Maxis, UMobile, TM atau Webe, YTL, Time, DNB, XOX (Rangkaian Celcom), Tune Talk dan redONE Network.

“Kesemua syarikat telekomunikasi yang terlibat telah bersetuju untuk menanggung sepenuhnya kos hebahan SMS ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

“Syarikat telekomunikasi ini akan mendapat notis awal dari Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), NADMA iaitu sebuah pusat pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana yang beroperasi 24 jam setiap hari.

“Sebaran SMS dan flash broadcast ini dilakukan secara bersasar kepada penduduk di kawasan yang berhadapan dengan risiko banjir setelah NDCC menerima amaran banjir daripada JPS,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, syarikat telekomunikasi juga telah siap membuat pemerkasaan tapak stesen pemancar di 442 lokasi sehingga Oktober lalu memandangkan liputan rangkaian amat penting ketika bencana alam.

“Bermula musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini, kesemua syarikat telekomunikasi bersetuju untuk menambah baik info dalam SMS Amaran Banjir bagi memudahkan orang ramai untuk memahami situasi banjir di kawasan masing-masing.

Berikut adalah contoh SMS yang akan diterima oleh orang ramai “NADMA: Banjir dijangka di kampung2 di Daerah Sik mulai 6.00 petang sehingga 11.00 malam, 28/10/2024. Layari portal bencana NADMA untuk info lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pelbagai langkah awal telah diambil bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana banjir dengan membuat penyelarasan pengurusan bencana bersepadu di peringkat daerah dan negeri.

“Syarikat telekomunikasi ini akan membantu membuat sebaran nasihat dan amaran banjir secara percuma. Perkhidmatan ini amat penting untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan komuniti yang terbabit untuk membuat persediaan segera”, ujarnya.

Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan MTL telah bermula sejak 5 November lalu dan akan berterusan sehingga Mac 2025 dengan menyaksikan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di beberapa buah negeri antaranya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak serta Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast