Dalam serbuan dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh semalam, SPRM telah menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, Pahang.

Kegiatan haram itu disyaki turut dilindungi oleh pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.

Dalam serbuan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh semalam, SPRM telah menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam operasi itu SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, berdasarkan risikan yang dibuat, kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh itu dipercayai dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sah di mana kebenaran hanya diberikan bagi memunggah hasil sedia ada yang telah digali sebelum 2022.

“Namun siasatan dijalankan mendapati, mereka turut melakukan kerja memunggah keluar hasil galian yang baru digali dan bagi melindungi kegiatan ini, beberapa pengusaha lori pengangkut bahan galian terbabit telah membayar wang rasuah kepada pegawai agensi berkenaan.

“Wang rasuah itu sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit dan SPRM kini masih dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah rasuah yang terlibat,” katanya.

Kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh dipercayai dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sah.

Beliau berkata, susulan serbuan di lokasi berkenaan, SPRM telah membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.

“Di lokasi ini, sebanyak lima jentera iaitu empat unit excavator dan sebuah shovel loader selain tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan siataan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.

“Selain sitaan di lokasi terbabit, sebanyak lapan unit lori pengangkut (tipper dumper) turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng,” katanya.

Sementara itu, Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an direman selama enam hari sehingga 19 November 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.

Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast