Razarudin Husain

KOTA BHARU – Pembinaan tembok keselamatan dan banjir di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang akan membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) membendung kegiatan jenayah rentas sempadan, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, cadangan pembinaan tembok keselamatan di kawasan sempadan juga akan memudahkan penempatan anggota PGA untuk pengawasan sempadan.

“Saya tidak menafikan isu seperti penyeludupan dadah, senjata api, minyak (masak) dan bahan mentah boleh dikurangkan jika tembok keselamatan dibina, selain memudahkan tugasan PGA,” katanya.

“PGA mengendalikan banyak pos di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand untuk memerangi jenayah rentas sempadan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Razarudin, peruntukan besar diperlukan untuk pembinaan tembok keselamatan itu, bersama-sama menyelesaikan isu berkaitan pemilikan tanah persendirian, sebelum projek itu dapat diteruskan.

“Kita juga perlu memikirkan peruntukan itu kerana ia melibatkan kos yang besar. Tambahan pula, kebanyakan tanah di sana (di Rantau Panjang) berhampiran Sungai Golok tidak mempunyai zon penampan, menyukarkan pelaksanaan projek itu,” katanya.

Dilaporkan semalam bahawa Kkerajaan Thai telah bersetuju dengan rancangan Malaysia untuk membina tembok keselamatan dan banjir di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang.

Gabenor Narathiwat Trakul Thotham berkata, tembok itu akan membantu menangani pelbagai jenayah rentas sempadan.

Pada 5 November lalu, Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan pembinaan tembok di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembinaan tembok sepanjang hampir 100 kilometer di sepanjang sempadan itu penting bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta mengawal banjir.

Pada 11 Nov, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pembinaan tembok itu kekal di peringkat cadangan.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan, beliau berkata perkara itu sering dibincangkan, tetapi kuasa mutlak terletak pada Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here