Marzunisham Omar dua dari kiri hadapan) bergambar bersama tetamu dan para hadirin di majlis pelancaran Program e-Duit Desa di Guar Chempedak, Yan, Kedah hari ini.

KUALA LUMPUR – Penggunaan e-pembayaran di Malaysia meningkat pesat dengan 11.5 bilion transaksi pada tahun 2023 berbanding 9.3 bilion transaksi pada 2022, kenaikan sebanyak 24%.

Penggunaan kod DuitNow QR juga meningkat dua kali ganda pada tahun 2023 dengan 360 juta transaksi bernilai RM14.6 bilion.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Marzunisham Omar berkata, perkembangan pesat ini disokong oleh dua juta peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga mikro.

Justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) yakin Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 400 transaksi e-pembayaran per kapita menjelang tahun 2026.

Menurut beliau, perkembangan ini mencerminkan gaya hidup orang ramai yang semakin cenderung menggunakan e-pembayaran kerana ia selamat, senang dan segera (3S).

Jelasnya, e-pembayaran selamat untuk digunakan kerana pihak bank telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikannya kaedah pembayaran ini selamat, termasuklah daripada ancaman serangan siber dan scam.

“E-pembayaran juga mengurangkan risiko yang akan dihadapi apabila menggunakan wang tunai. Contohnya, kita tidak perlu membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak untuk membuat pembayaran. Peniaga juga tidak perlu membawa wang hasil jualan perniagaan yang berjumlah besar untuk disimpan di bank, justeru menjimatkan kos operasi perniagaan.

“Ia juga sangat senang digunakan, dengan hanya mengimbas kod QR, pembayaran dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Bagi peniaga, proses pendaftaran akaun DuitNow QR juga lebih mudah, terutama jika peniaga sudah mempunyai akaun dengan bank atau e-dompet tersebut. Malah ia tidak memerlukan penyelenggaraan.

“Penggunaan e-pembayaran seperti DuitNow QR, membolehkan pembayaran diterima dengan segera dan terus ke dalam akaun peniaga. Bagi peniaga, transaksi perniagaan yang direkodkan secara langsung akan memudahkan pengurusan aliran tunai. Data yang direkodkan ini mampu membina profil kredit peniaga untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Program e-Duit Desa di Guar Chempedak, Yan, Kedah hari ini.

Marzunisham berkata, meskipun e-pembayaran telah mengubah cara menjalankan urusan kewangan, pada masa yang sama penggunaan digital ini juga menimbulkan risiko seperti penipuan kewangan jika tidak disertai dengan amalan keselamatan yang baik.

“Kita juga perlu berhati-hati supaya tidak terjebak menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian ataupun mangsa scam. Oleh itu, saya ingin mengingatkan orang ramai berkenaan langkah-langkah untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

“Sentiasa peka dengan taktik licik yang digunakan oleh penipu kewangan atau scammer. Ikuti laman Facebook Amaran Scam untuk maklumat terkini berkaitan jenayah penipuan kewangan.

“Jangan terjerat dengan penipuan keldai akaun dengan menyewakan atau meminjamkan akaun anda kepada orang lain. Penipuan ini bukan sahaja membantu scammer malah membawa kesan yang buruk kepada pemegang akaun sekiranya terbukti bersalah,” tambahnya.

Menurut beliau, BNM serta industri kewangan sentiasa komited untuk memastikan sistem kewangan kekal selamat melalui penambahbaikan ciri-ciri keselamatan dan program kesedaran yang berterusan bagi meyakinkan orang ramai untuk terus menggunakan e-pembayaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here