JOHOR BAHRU – Kegembiraan tiga kanak-kanak bermain bersama-sama berakhir tragedi apabila seorang daripadanya tergelincir masuk longkang dalam kejadian di sebuah flat berhampiran Bandar Baru Uda di sini semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, selepas terjatuh mangsa dibawa arus deras terus ke parit besar.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan itu pukul 3.37 petang. Maklumat awal kejadian ini diceritakan dua rakan mangsa yang ketika itu mengejar mangsa di atas tebing.
“Mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun yang tergelincir ketika bermain di longkang sewaktu cuaca hujan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kedalaman longkang kira-kira 3.9 meter dan lebar kira-kira 6.7 meter manakala paras air ketika mangsa hilang adalah kedalan 2.43 meter.
Menurutnya, operasi pencarian secara permukaan dilakukan bermula sekitar kawasan mangsa hilang hingga ke Sungai Sekudai, Kampung Usaha Jaya.
“Tindakan pencarian adalah dengan bantuan bot penduduk kampung untuk mencari di kawasan muara berdekatan perangkap sampah,” ujarnya.
Sehingga kini katanya, operasi masih diteruskan.- MalaysiaGazette