MUAR – Seorang pekerja swasta diperdaya RM124,400 selepas tertarik pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan sehingga 250 peratus dalam masa beberapa jam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, semuanya bermula apabila mangsa yang merupakan wanita tempatan berusia 50 tahun menyertai kumpulan pelaburan dalam telegeram pada 6 November lalu.
“Selepas menyertai kumpulan itu mangsa diberi penerangan oleh seorang individu yang mengaku sebagai pengurus berkenaan satu pelaburan.
“Pelaburan berkenaan menawarkan pulangan lumayan dalam bentuk mata wang digital bitcoin dan dijanjikan pulangan lumayan sehingga 250 peratus dalam masa beberapa jam.
“Mangsa kemudian diarahkan supaya mendaftar menggunakan satu pautan yang merupakan medium pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, wanita berkenaan yang percaya dengan paparan dilihat kemudian mendaftarkan diri dan melabur dalam pelaburan tersebut.
Mangsa ujarnya, membuat pelaburan tambahan semuanya melibatkan 12 transaksi ke dalam lapan akaun berbeza dari 7 hingga 13 November lalu.
Jelas beliau, semuanya melibatkan jumlah RM124,400 dan semasa mahu mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan tersebut, mangsa tidak dapat berbuat demikian.
“Mangsa kemudian disuruh membuat pembayaran lagi namun wanita itu enggan berbuat demikian kerana merasa ditipu lalu membuat laporan polis.
“Sehingga laporan polis dibuat mangsa masih gagal mengeluarkan sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan. Sumber kewangan mangsa adalah wang simpanannya sendiri,” ujarnya.
Menurut Raiz Mukhliz, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan atau denda.
Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.
“Sentiasa mengikuti nasihat dalam Facebook, Instagram dan Tik Tok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bagi mendapat maklumat modus operandi scammer,” katanya.- MalaysiaGazette