KUALA LUMPUR – Penyedia e-hailing, GV Ride, menawarkan sejuta tempahan percuma bernilai RM15 dan ke bawah sempena pelancaran perkhidmatannya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Car Ventures Sdn Bhd (GVV), Kabeer Maand berkata, syarikat e-hailing baharu itu menawarkan pilihan kepada pengguna dengan kadar berpatutan menerusi kaedah bidaan.

“Aplikasi ini menawarkan ciri-ciri seperti penjejakan masa nyata, tempahan perjalanan melalui bidaan harga dan pilihan pembayaran tanpa tunai, sekaligus memberikan kemudahan dan ketelusan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika majlis pelancaran GV Ride di Sungai Long Golf & Country Club, Kajang hari ini.

Majlis dirasmikan Exco Pelaburan dan Perdagangan, Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Turut hadir Pengarah Urusan GV Ride, Ir Vincent Chew Hian Sern.

Menurut beliau, perkhidmatan berkenaan menawarkan potongan komisyen paling rendah iaitu 9 peratus daripada kadar tambang lain.

Terdahulu katanya, GV Ride menyasarkan 50,000 pemandu berdaftar menjelang hujung tahun ini.

“Sehingga kini GV Ride mempunyai 15,000 pemandu. Diselia oleh seorang alpha bagi setiap negeri kecuali Perak Utara, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Langkawi yang diuruskan oleh persatuan yang dilantik oleh GV Ride,” tambahnya.

Dalam pada itu, Kabeer optimis rancangan syarikat itu untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing menggunakan kenderaan EV menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, ketika ini pihak syarikat sedang berunding dengan pembekal dari China dan menyasarkan sebanyak 2,500 unit kenderaan EV akan digunakan untuk fasa pertama dalam memenuhi keperluan pengguna.

“Syarikat juga akan menawarkan skim penjimatan di mana pemandu boleh menyewa kereta elektrik untuk kegunaan e-hailing, sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.

Mula beroperasi sejak September, FV Ride yang dimiliki GV Car Ventures Sdn Bhd (GVV) merupakan antara 30 syarikat yang berdaftar di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Dalam pada itu NG menyifatkan kewujudan GV Ride sekitar Lembah Klang akan dapat memberi nilai tambah dan meningkatkan daya saing antara syarikat e-hailing di sekitarnya.

“E-hailing sangat penting kepada perkhidmatan rel dan pengangkutan awam lain sekaligus menyempurnakan ekosistem pengangkutan awam.

“Di Selangor kita ada populasi penduduk paling tinggi iaitu kira-kira lebih 10 juta dan ini suatu pasaran yang besar dan sudah pastinya kita perlukan perkhidmatan awam yang lebih baik.

“Kita mengalu-alukan lebih banyak perkhidmatan e-hailing agar penduduk dapat menikmati perkhidmatan selesa,” menurutnya.

Pada majlis sama, GVV memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat sebagai usaha mengukuhkan kehadiran GV Ride di pasaran e-hailing tempatan.

MoU dimeterai dengan syarikat penyedia perlindungan insurans, Zlata Resources Sdn Bhd; syarikat bateri kereta, Sejamas World Sdn Bhd dan pembekal port pengecasan kenderaan elektrik, Network EV Sdn Bhd.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast