Suasana sekitar luar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ketika tinjauan di Kuala Lumpur hari ini. Foto AIZAT ZAINAL, 1 NOVEMBER 2024.

KOTA TINGGI – Keputusan hukuman membabtikan lima pelaku dalam dua kes buli berasingan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan diketahui dua minggu lagi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hukuman itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT).

“Kementerian pertahanan telah ada keputusan mengenai kadet yang terlibat tempoh hari ini, kita hanya menunggu pengesahan daripada Majlis Angkatan Tentera (MAT).

β€œIa membabitkan dua kes yang melibatkan lima kadet, salah seorang yang kes buli seterika. Kalau memang (terlibat), mereka akan dihukum untuk dibuang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Kota Tinggi di Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi di sini malam tadi.

Selain itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga memutuskan hukuman sangat berat termasuk diberhentikan pengajian, membayar denda dan bayar balik wang tajaan.

Khaled (tengah) selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Kota Tinggi di Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi, di Kota Tinggi, malam tadi.

Jelasnya, mereka perlu membayar semua kos tanggungan yang kerajaan telah keluarkan sepanjang menjadi kadet belajar di universiti termasuk mesti keluar dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

Menurut Mohamed Khaled, selain mengenakan hukuman berat terhadap pelaku, MINDEF akan memperketatkan tindakan terhadap pihak atau individu yang menyorokkan insiden buli yang terjadi dalam UPNM serta pihak yang tidak memaklumkan kejadian buli terbabit.

“Selain usaha menambah jurulatih dan mengasingkan pelajar tahun satu daa pelajar senior, kita juga akan memperketatkan hukuman dan menghebahkan supaya semua tahu sebagai satu literal kalau sesiapa terlibat dalam soal kekejaman, buli dan penderaan, hukuman adalah sangat berat.

“Kita juga akan memperketatkan tindakan terhadap mereka yang menyorok atau tidak memaklumkan (kejadian buli) jadi ini antara yang kita buat,” ujarnya.

Khaled mengakui latihan tentera memang berat tetapi tidak sehingga melakukan kekejaman ataupun memukul guna seterika.

Ketika ditanya adakah pihak kementerian menyarankan mangsa buli lain sekiranya ada untuk membuat laporan polis berhubung kes buli di UPNM, beliau berkata, pihaknya terbuka dalam hal itu.

Jelas Mohamed Khaled, MINDEF tidak ada sekatan atau menghalang sekiranya mangsa berbuat demikian sekiranya terdapat elemen jenayah.

Pada 30 Oktober lalu, UPNM merekodkan satu lagi kes penderaan kejam yang menyaksikan seorang kadet melecur di dada selepas didera dan dibuli senior menggunakan seterika panas.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan.

Kemudian pada 10 November lalu, satu lagi kes buli melibatkan penuntut UPNM dilaporkan membabitkan seorang penuntut tahun satu universiti itu cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior pada 21 Oktober lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast