Air Terjun Gunung Ledang

JOHOR BAHRU – Jabatan Perhutanan Negeri Johor akan menutup beberapa lokasi eko pelancongan di seluruh negeri sebagai persediaan musim tengkujuh yang dijangka berlaku hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, langkah tersebut bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

Beliau memberitahu, penutupan itu melibatkan Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN), trek pendakian, trek sukan lasak dan Suaka Burung Panti.

“Lokasi-lokasi ini ditutup kepada pengunjung mulai 15 November 2024 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak kecuali TER Gunung Arong dan Trek Pendakian Gunung Arong yang akan ditutup pada 16 Disember 2024 sehingga dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, Perbadanan Taman Negara Johor turut mengumumkan penutupan:

  1. Air Terjun Gunung Ledang yang telah ditutup bermula 14 Oktober hingga 31 Disember 2024 bagi memberi laluan kepada kerja kerja naik taraf
  2. ⁠Taman Negara Endau-Rompin yang akan ditutup bermula 1 Disember 2024 hingga diberitahu kelak
  3. ⁠Taman Negara Gunung Ledang Hutan Lagenda akan ditutup bermula 1 Disember hingga diberitahu kelak

Jelasnya, keputusan itu diambil sebagai langkah proaktif untuk melindungi keselamatan pengunjung serta meminimumkan risiko akibat fenomena cuaca buruk seperti hujan lebat dan banjir.

Kerajaan negeri katanya, amat menghargai kerjasama orang ramai dalam mematuhi arahan tersebut demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

Pihaknya juga menyeru agar semua pihak sentiasa berwaspada terhadap risiko musim tengkujuh dan mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Johor sangat mengalu-alukan kedatangan orang ramai apabila lokasi-lokasi ini dibuka semula nanti.

“Kami yakin pengalaman di kawasan eko pelancongan ini akan terus memberi kepuasan kepada para pengunjung setelah penambahbaikan dilaksanakan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here