KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak berubah minggu depan dalam persekitaran permintaan baharu daripada pasaran destinasi.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, ia juga dalam persekitaran kenaikan premium minyak sawit berbanding minyak kacang soya yang dilihat ketiadaan permintaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, bekalan minyak sawit dijangka terhad dan situasi itu akan berlanjutan jika Indonesia memulakan mandat biodiesel B40 mengikut jadual mulai 01 Januari, 2025.
Duti eksport bagi MSM, yang kini pada US$124 satu tan, boleh meningkat kepada US$178 setan, katanya.
“Ini adalah senario yang ideal untuk minyak sawit Malaysia kekal lebih tinggi walaupun berdepan tekanan daripada pasaran minyak kacang soya yang semakin lemah.
“Sementara itu, eksport minyak sawit Malaysia untuk tempoh 1 hingga 15 November mungkin akan terus jatuh kepada dua digit,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 susut RM9 kepada RM5,151, Disember 2024 jatuh RM25 kepada RM5,119 dan Januari 2025 merosot RM13 kepada RM5,088 satu tan.
Sementara itu, kontrak Februari 2025 dan Mac 2025 menambah RM14, masing-masing kepada kepada RM5,053 and RM4,952 manakala April 2025 naik RM9 kepada RM4,830 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 765,457 lot daripada 461,460 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 112,146 kontrak daripada 239,911 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan meningkat RM10 kepada RM5,170 satu tan. – BERNAMA