SUNGAI BULOH – E-sukan yang semakin berkembang dan popular di peringkat domestik dan dunia sekarang mempunyai masa depan untuk anak-anak.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, penganjuran dan kejuaraan pertandingan e-sport akan memberi pendedahan luas kepada ibu bapa dan golongan belia.
“Saa ucapkan tahniah kepada pasukan Selangor Red Giants atas kejayaan mereka mewakili dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dengan muncul sebagai juara dunia dalam pertandingan e-sport baru-baru ini.
“Harap adanya pendedahan ini memberi kesedaran kepada ibu bapa bahawa e-sport sebagai opsyen kerjaya untuk anak-anak muda pada masa depan.
“Lagipun, hadiah yang ditawarkan pun sangat besar dan lumayan dan ia semestinya menarik minat dan kecenderungan anak muda menceburi sukan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu Hannah hadir ke program Rakan Muda Jom Teroka Industri Getah bertempat di Akademi Hevea, Lembaga Getah Malaysia.
Tambah beliau, e-sport bukan sahaja diwartakan sebagai satu sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia juga dikenalpasti sebagai industri sampingan berpotensi besar untuk anak-anak di negara ini.
Katanya, Malaysia bakal menjadi tuan rumah untuk sukan e-sport M6 dan berharap lebih banyak lagi platform pertandingan e-sukan dilaksanakan dengan latihan secara berterusan dengan penglibatan anak muda.
“Hasrat industri e-sport untuk mendapatkan stadium e-sport dan saya telahpun berbincang dengan persatuan yang terlibat dalam sukan itu dan agensi KBS turut melakukan banyak perancangan bukan sahaja untuk e-sport tetapi juga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Dalam hal ini saya mengharapkan semua krajaan negeri memberi sokongan dalam bajet masing-masing untuk mewujudkan platform e-sport.
“Kalau kita tidak mahu iktiraf e-sport sebagai sukan, yang akan rugi nanti adalah Malaysia memandangkan di luar sana banyak pertandingan e-sport diadakan dengan banyak ganjaran lumayan dan pewartaan e-sport sebagai sukan adalah proses pertama kita,” ujarnya lagi.
Tegas beliau, KBS sedia maklum mengenai hasrat persatuan untuk membawa e-sport ke sekolah bagaimanapun infrastruktur di sekolah tidak boleh menampung pertandingan sukan tersebut.
“Saya rasa semua ini akan digerakkan satu demi satu dengan memberi sokongan kepada yang berjaya menyerlah dan mempamerkan kejayaan dalam e-sport dan tanggungjawab itu ada pada semua termasuk Kementerian Komunikasi bukan hanya di bahu KBS semata-mata,” kata Hannah lagi. -MalaysiaGazette