KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan pemunggahan keluar hasil galian bauksit di sekitar Kuantan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia selari dengan amalan kerajaan negeri menerapkan budaya tadbir urus yang baik.
“Memang dari dulu kalau ada isu berkaitan SPRM, kerajaan negeri akan beri kerjasama.
“Malahan pesalah mencuri apa sahaja aktiviti haram memang akan didakwa terus di mahkamah bukan lagi dikompaun,” katanya selepas merasmikan Program Anggun Suri Daerah Kuantan, di sini, hari ini.
Menurut Wan Rosdy, siasatan tersebut juga dapat membantu kerajaan negeri mengatasi salah laku dalam kalangan pegawainya.
Beliau yang mengalu-alukan siasatan tersebut memberitahu, apabila berlaku kecurian mineral bauksit, kerajaan negeri akan kekurangan hasil, sekali gus ia turut merugikan rakyat. – MalaysiaGazette