Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyeru Kementerian Pendidikan (KPM) mempelbagaikan program pendidikan kesihatan di sekolah yang menekankan bahaya rokok elektronik atau vape.

Naib Presiden Siswa GPMS, Muhammad Danial Alimin berkata, pihaknya percaya pendedahan awal mengenai risiko kesihatan dapat membentuk minda dan tingkah laku yang lebih positif dalam kalangan pelajar.

Dalam masa sama, beliau menggesa pihak sekolah memperketat pengawasan di kawasan sekolah, terutama di waktu rehat dan selepas sesi persekolahan.

Ia termasuk memantau kawasan-kawasan “panas” yang sering menjadi tumpuan pelajar untuk berkumpul secara tersembunyi.

“GPMS memandang serius insiden yang berlaku melibatkan seorang pelajar sekolah yang dilaporkan terjatuh selepas menghisap vape.

‘Kejadian ini menimbulkan kebimbangan mengenai penularan penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan

“Sehubungan itu, GPMS menggesa semua pihak, termasuk ibu bapa, pihak sekolah, dan pihak berkuasa, untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dan bersepadu dalam menangani isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Danial berkata, GPMS turut mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap penjualan vape kepada pelajar bawah umur.

Tegas beliau, peniaga yang melanggar peraturan itu perlu dikenakan tindakan yang lebih berat sebagai pengajaran.

Dalam masa sama, jelasnya, GPMS turut mencadangkan pelajar yang terjebak dalam penggunaan vape diberi sokongan kaunseling dan rehabilitasi yang sewajarnya.

Ujar beliau, ibu bapa dan guru harus bekerjasama untuk memberikan bimbingan yang lebih intensif kepada pelajar yang terlibat.

“GPMS berharap kejadian ini dapat membuka mata semua pihak tentang betapa seriusnya isu vape dalam kalangan remaja.

“Ini bukan hanya soal disiplin, tetapi melibatkan kesihatan dan masa depan generasi muda kita,” katanya.

Tambah beliau, GPMS akan terus komited dalam memainkan peranan sebagai badan yang memperjuangkan kebajikan dan pembangunan sahsiah pelajar di negara ini.

“Marilah kita berganding bahu untuk memastikan masa depan yang lebih cerah dan selamat buat anak-anak kita,” katanya.

Dalam kejadian minggu lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolah dipercayai akibat khayal selepas menghisap vape.

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi di bangunan sekolah berkenaan.

Katanya, selepas terjatuh, pelajar berkenaan dilihat menjadi tidak terkawal dengan meracau sehingga memaksa pentadbiran sekolah menghubungi polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here