JOHOR BAHRU – Permohonan pelepasan awal tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada menyertai Perlawanan Antarabangsa Tier 1 adalah disebabkan jadual perjalanan Liga Juara-juara Asia Elite (ACLE).
Perkembangan itu dimaklumkan dalam satu kenyataan namun tidak menyebut langsung mengenai perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 bagi Harimau Selatan bertemu Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, pihaknya menghargai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti yang maklum betapa JDT mengambil serius kejohanan tertinggi peringkat Asia itu.
Katanya, kelab itu memohon pelepasan awal membabitkan Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matt Davies disebabkan oleh perancangan perjalanan menjelang aksi ACLE menentang Shandong Taishan.
“Kami amat berterima kasih kepada Harimau Malaya kerana memberi pelepasan awal kepada pemain disebabkan jadual perjalanan ACLE.
“Kami dijadualkan berlepas ke China pada Rabu ini, yang mana hanya sehari (20 Nov) selepas pemain-pemain kebangsaan pulang selepas perlawanan Harimau Malaya menentang India pada Isnin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Edwards menambah, JDT mengambil serius kejohanan elit Asia selepas pelaburan besar yang dilakukan musim ini dengan harapan dapat menjalani kempen dengan cemerlang.
Kejohanan itu katanya, bukan sahaja akan meningkatkan status kelab di Asia tetapi juga meningkatkan ranking Malaysia dalam kejohanan kelab Asia.
Beliau berkata, ia juga akan memberikan manfaat buat bola sepak Malaysia kerana lebih banyak kelab boleh beraksi di kejohanan elit Asia pada musim-musim akan datang.
Dalam pada itu, Edwards memberitahu, bukan semua pemain Harimau Selatan dipanggil balik untuk persediaan menghadapi ACLE.
“Kami telah mencapai kata sepakat bersama skuad Harimau Malaya agar penjaga gol, Syihan Hazmi kekal bersama skuad kebangsaan kerana Harimau Selatan telah menggunakan khidmat Andoni Zubiaurre di ACLE setakat ini.
“Kami berbesar hati dengan Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyokong kempen kami di ACLE dan JDT akan terus menyokong aspirasi Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027,” ujarnya.
Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan berkata, hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 kedua bertemu India pada Isnin ini dengan Davies, Feroz dan Arif Aiman telah dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan JDT.
Menurut kenyataan itu, ini susulan jadual dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC.- MalaysiaGazette