KLUANG – Pemandu treler yang menyebabkan kemalangan sehingga seorang maut dan pasangan suami isteri parah di Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, semalam ditahan rerman dua hari.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia 40 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Pasangan suami isteri terbabit pula masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dan akan menjalani pembedahan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pukul 7.40 pagi semalam, kontena treler yang dipandu suspek tertanggal dan terjatuh ke laluan bertentangan selepas merempuh pembahagi jalan sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin dilaporkan berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang penunggang motosikal kuasa tinggi jenis Yamaha MT09, Muhammad Adib Adnan, 33, iaitu seorang Jurutera Aeroangkasa di Singapura maut.
Sementara lelaki yang memandu kereta Honda Civic katanya, merupakan seorang mekanik, 25, patah kedua-dua belah kaki dan cedera di dada manakala isterinya, 26, cedera di kepala, dahi, dagu dan tangan kanan selain luka ringan di badan.
Anak lelaki pasangan tersebut yang berusia setahun selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Kemalangan itu tular dalam media sosial dan menyebabkan kesesakan sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum pihak pengurusan lebuh raya membuka laluan kontra dari arah Selatan. – MalaysiaGazette