KUALA LUMPUR – Pengacara temubual CNN, Richard Quest memuatnaik klip video temubual beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Video berdurasi lima minit 22 saat itu adalah berkisar tentang soalan Quest berhubung pendirian Anwar tentang kewujudan negara zionis Israel.
“Here is my interview with @anwaribrahim the PM of #malaysia recently broadcast on @questCNN (Ini adalah temubual saya bersama Anwar (Perdana Menteri Malaysia) dalam progran QuestCNN,” ciap Quest di aplikasi X miliknya.
Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil mengesahkan rakaman video kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong ‘kewujudan Israel’ telah disunting pihak tertentu.
Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah meneliti keseluruhan rakaman video itu dan ternyata ia telah disunting.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya maklum dengan pihak berkenaan yang sifatnya suka menyunting dan ternyata mereka telah melakukan kesilapan.
“Bagi saya puak-puak yang menyunting ini, apa yang kerajaan buat, mereka tidak akan pernah gembira.
“Namun, apa yang penting ialah kita perjuangkan masa depan lebih baik untuk Palestin,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet semalam.
Malah beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya meneliti dan membuat siasatan terhadap rakaman video Perdana Menteri itu untuk siasatan lanjut.
Fahmi berkata, pihaknya tidak pernah menghalang rakan-rakan media untuk membuat laporan mengenai rakaman video tular itu sebaliknya berhati-hati dalam melayan sebarang spekulasi. – MalaysiaGazette