Logo halal JAKIM.

KUALA LUMPUR – Pensijilan halal yang diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Genting Malaysia Berhad langsung tidak mempunyai kaitan dengan premis judi seperti yang dibangkitkan banyak pihak menerusi media sosial.

Sebaliknya, menurut Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Hab Halal, Jakim, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang diberikan kepada syarikat Genting Malaysia Berhad itu adalah meliputi premis-premis makanan yang dikelolakan oleh syarikat berkenaan di Genting Highlands.

Antaranya Jom Makan Street Food Restaurant & Kitchen dan Jom Makan SkyAvenue Restaurant & Kitchen, jelas kenyataan tersebut.

“Selain itu, syarikat berkenaan juga sangat komited dalam mematuhi keperluan dan piawaian pensijilan halal Malaysia yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa sehingga dinobatkan sebagai Halal Champion negeri Pahang,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, para pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu berita tanpa usul periksa dan mengelak daripada mengelirukan pengguna lain.

Katanya, sebarang penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular juga boleh diperoleh melalui laman sesawang https://sites.google.com/islam.gov.my/skkbph/laman-utama.

Semalam, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan melalui media sosial yang mempersoalkan pemberian Sijil Halal Champion Negeri Pahang kepada Genting Malaysia Berhad.

Ia selepas media melaporkan syarikat terkemuka dalam bidang rekreasi dan hospitaliti itu mendapat pengiktirafan tersebut pada majlis pelancaran Halal on Track Pahang 2024.

Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu diberi selepas penyerahan status halal dan penilaian menyeluruh oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) terhadap operasi harian dan latihan selain dokumentasi Jom Makan SkyAvenue serta Jom Makan Street Food yang dimiliki dan diuruskan Resorts World Genting.

Menurutnya, Genting Malaysia berjaya menduduki tempat 10 teratas daripada 1,500 pencalonan status halal. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here