SUBANG JAYA- Seorang pesara guru mengalami kerugian RM17,284 gara-gara terpedaya dengan tawaran cabutan bertuah yang menawarkan sebuah kereta Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang lelaki berusia 81 tahun mengenai insiden itu pada 7 November lalu.
Katanya, siasatan awal polis mendapati semasa mangsa berada di sebuah pasar raya di Bukit Rimau, beliau telah didatangi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai di pasar raya tersebut.
“Suspek kemudian memaklumkan mangsa memenangi cabutan bertuah kereta Perodua Bezza.
“Bagi menebus hadiah itu mangsa perlu mengikut suspek ke sebuah lagi pasar raya di USJ sebelum suspek membawa pesara guru itu ke sana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Wan Azlan, sebaik tiba di lokasi suspek meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit, kad mesin pengeluaran wang (ATM) berserta kata laluan untuk urusan penebusan hadiah sebelum mangsa diminta menunggu dalam keretanya.
Bagaimanapun katanya, selepas 30 minit menunggu mangsa mendapati suspek tidak datang dan mula menyedari dirinya telah ditipu lelaki tersebut.
“Mangsa kemudian pergi ke bank dan membuat semakan sebelum terkejut selepas mendapati wang dalam akaun simpanannya telah lesap.
“Polis sedang giat mengesan individu dikenali Soh Kee Hui, 45, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dalam kes yang sedang disiasat ini,” katanya. – MalaysiaGazette