Tangkap layar video tular didakwa berlaku rompakan di sebuah kedai emas di Labis, Segamat tetapi sebenarnya berlaku di Thailand pada tahun 2022

SEGAMAT – Polis menafikan berlaku kejadian rompakan kedai emas menggunakan senjata api termasuk melepaskan tembakan di Labis, di sini, seperti tular dalam media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah menjelaskan, kejadian tersebut tidak berlaku di Labis dan semakan pihaknya mendapati berlaku di negara jiran.

“Hasil siasatan juga mendapati laporan terbabit pernah tular pada 2022 dan berlaku di Thailand.

“Pihak polis mengesan video yang tular itu pagi semalam yang memaparkan beberapa lelaki melakukan rompakan menggunakan senjata api.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati maklumat tular itu tidak benar dan tiada sebarang rompakan atau tembakan berlaku yang dilaporkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, pada masa sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat tidak pernah mengeluarkan kenyataan amaran mengenai kejadian terbabit.

Beliau berkata, adalah penting untuk setiap pengguna berhati-hati dan tidak terus menerima sebarang maklumat yang diterima menerusi media sosial.

“Buat selidik dan kaji terlebih dahulu jika perkongsian membabitkan rantaian maklumat dan pastikan kesahihannya supaya jangan disebarkan maklumat tidak benar.

“Ini kerana bahan-bahan berbentuk spekulasi, tuduhan dan penghinaan juga boleh memberi impak dan kesan besar kepada kententeraman awam,” tegasnya.

Terdahulu tular video berdurasi 43 saat memaparkan seorang perompak melepaskan tembakan di cermin pintu sebuah kedai emas sebelum menyerbu masuk.

Terdapat empat perompak melepaskan diri dipercayai dilepaskan pengawal keselamatan kedai itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here