KUALA LUMPUR – Polis memulakan siasatan kes penyebaran sepucuk surat yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, surat itu dikesan dihantar kepada seorang individu di Sarawak.
“Polis telah menerima laporan berhubung kes itu di Balai Polis Presint 7, Putrajaya daripada pegawai keselamatan Fadillah untuk tindakan lanjut.
“Kertas siasatan dibuka dan kes sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di bawah Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemalsuan dokumen bagi tujuan menipu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ia memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, media melaporkan satu laporan polis telah dibuat apabila seorang kakitangan awam memaklumkan kepada Fadillah menerusi WhatsApp bahawa dia terbaca dua surat berkepala rasmi Jabatan Perdana Menteri di pejabat agensi kerajaan di Kuching, Sarawak, Selasa lalu.
Surat berkenaan memetik nama Fadillah Yusof namun tiada tandatangannya dan ia menawarkan pelbagai jawatan serta kelulusan kuarters kerajaan yang disebarkan individu yang menyamar sebagai pegawai kepada Fadillah.
Bagaimanapun, pada Khamis lalu Fadillah menerusi satu kenyataan menafikan bahawa pihaknya mengeluarkan surat pelantikan individu tersebut sebagai pegawai di pejabatnya seperti tular di media sosial. – MalaysiaGazette