LIMA (Peru), 16 Nov (Bernama) — Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghasilkan potensi eksport RM1.24 bilion (US$0.3 bilion), khususnya dalam sektor berpotensi tinggi susulan inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kalangan syarikat Peru itu menyatakan minat untuk mengimport bahan binaan berkaitan keluli dan kaca, peralatan dan produk perubatan, minyak sawit, bahan kimia serta produk makanan dan minuman dari Malaysia.
“Kita juga akan mengambil tindakan susulan mengenai kerjasama logistik, terutama dalam hal berkaitan pelabuhan yang sama penting untuk memudah cara eksport antara kedua-dua negara,” kata beliau di sini.
Beliau berkata demikian pada sidang media akhir bersama media Malaysia yang membuat liputan Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berakhir pada Sabtu.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan 22 pemimpin industri dan perniagaan dari 17 syarikat Peru mewakili pelbagai industri termasuk farmaseutikal, peralatan dan produk perubatan, bahan binaan, produk berasaskan bahan kimia, makanan kesihatan serta produk barangan pengguna.
Setakat kini, syarikat tersebut telah mengimport barangan bernilai RM435.27 juta (US$95.44 juta) dari Malaysia, dan kerajaan akan terus berusaha meningkatkan nilai eksport ke Peru, kata beliau.
Dari sudut pelaburan pula, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenal pasti sebanyak tujuh syarikat pembuatan terkemuka Peru yang mahu meneroka peluang pelaburan di Malaysia, terutama dalam sektor pemprosesan makanan, perkhidmatan logistik bersepadu dan farmaseutikal.
Beliau berkata tindakan susulan akan diambil bagi merealisasikan kesemua niat tersebut secepat mungkin.
MITI juga mengambil maklum penyertaan 16 syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Malaysia yang mengambil bahagian dalam lawatan rasmi Perdana Menteri itu.
Anwar berkata mereka turut menyertai mesyuarat meja bulat bersama pemimpin industri Peru bagi meneroka pelbagai peluang kerjasama perniagaan, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan dan memperluas pelaburan dua hala antara Malaysia dan Peru.
Di sela-sela mesyuarat berkaitan APEC, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama kalangan menteri ekonomi dari Singapura, Jepun dan New Zealand.
Perbincangan bersama Grace Fu dari Singapura adalah mengenai persiapan sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin Singapura dan Malaysia yang akan berlangsung pada 8 dan 9 Dis, 2024, serta persediaan dan keutamaan Malaysia bagi Kepengerusian ASEAN 2025.
“Dengan Jepun, bersama Muto Yoji, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (dilantik pada Oktober 2024). Saya membincangkan mengenai persediaan Malaysia bagi Ekspo Osaka 2025 sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jepun,” kata Tengku Zafrul.
Perbincangan bersama Yoji juga melibatkan keutamaan Malaysia dalam sektor tenaga dan hijau yang merupakan antara fokus Jepun.
Tengku Zafrul berkata, perjumpaan dengan Menteri Perdagangan New Zealand, Todd McClay pula mengenai perjanjian perdagangan bebas serantau dan dua hala, situasi geopolitik semasa, dan pengiktirafan bersama pensijilan halal. – BERNAMA