JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaat dalam meningkatkan kualiti hidup, bukan untuk keuntungan ekonomi sehaja.
Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mahu universiti itu yang menjadi peneraju dalam penyelidikan AI pertama di Malaysia memainkan peranan tersebut.
“UTM sebagai sebuah universiti penyelidikan telah diamanahkan negara kita untuk menjadi peneraju dalam penyelidikan AI dengan penubuhan ‘Fakulti Kecerdasan Buatan’ pertama di Malaysia mesti memastikan teknologi ini digunakan dengan bertanggungjawab dan beretika.
“Selain teknologi AI yang berkembang begitu pesat, tidak boleh dinafikan juga kita sedang hidup dan sedang menyaksikan aktiviti manusia kini telah merosakkan sistem semula jadi dunia kita secara ketara dan membimbangkan.
“Kita sebagai masyarakat yang terpelajar mesti memainkan peranan dalam menangani kerosakan alam semulajadi. Ia bermula dengan perubahan sikap dan rasa tanggungjawab untuk memelihara dunia kita ini untuk generasi akan datang,” titah baginda semasa Majlis Konvokesyen UTM ke-68 di sini hari ini.
Turut berangkat Pro- Canselor UTM, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, juga dihadiri Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Raja Zarith Sofiah melahirkan kesyukuran dan tahniah kepada UTM kerana menjadi antara institusi yang mula-mula mengusahakan elemen kesihatan dunia melalui Pelan Kelestarian UTM 2030.
Baginda berharap semua pihak dapat bersama-sama menjadikan Wawasan UTM 2030 yang sedang dalam fasa pembangunan berjaya dan meletakkan nama UTM sebaris universiti terkemuka dunia.
Seramai 584 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 1,352 graduan Ijazah Sarjana, 4,581 graduan Ijazah Sarjana Muda, 899 graduan Diploma, dan 83 graduan Diploma Eksekutif menerima penganugerahan pada konvokesyen kali ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,149 orang adalah graduan antarabangsa dari 56 buah negara dengan Indonesia, China dan Bangladesh merupakan tiga negara merekodkan bilangan graduan tertinggi.
Setakat ini, UTM sudah melahirkan seramai 232,222 graduan dengan 12,450 dari 107 buah negara sejak 1972.- MalaysiaGazette