SEGAMAT – Seorang remaja dikhuatiri lemas ketika mandi bersama-sama 19 rakannya di Sungai Jeram Badoh, Buloh Kasap, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa yang berusia 14 tahun dihanyutkan arus dalam kejadian pada pukul 4.20 petang.
“Mangsa bersama-sama rakannya dari Felda Palong 4, 5, dan 6, Gemas, Negeri Sembilan mandi di sungai tersebut sebelum mangsa dilihat hanyut ke tengah sungai akibat arus deras.
“Susulan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Segamat diaktifkan.
“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga dibuka di lokasi bagi menyelaras tindakan serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi berkenaan melibatkan 35 petugas polis dan bomba , selain melibatkan 10 unit aset termasuk empat buah bot.
Setakat ini ujarnya, operasi masih diteruskan dan pencarian dilakukan unit selam bomba dan sudah memasuki zon kedua dengan jarak 150 meter dari lokasi terakhir mangsa dibawa arus.
Beliau meminta orang ramai yang maklumat mengenai insiden tersebut menghubungi Pusat Kawalan Daerah di talian 07-9324222.- MalaysiaGazette